Bismillahirrahmanirrahim...
Bertunang adalah
salah satu proses yang wujud dalam syariat Islam. Hukumnya adalah sunat. Ia
terjadi apabila hasrat seorang lelaki untuk menjadikan seorang wanita sebagai
isterinya disambut oleh wanita tersebut ataupun walinya. Maka, apabila sah
menjadi tunangan, wanita tersebut tidak boleh lagi dipinang oleh orang lain.
Mungkin asas
tersebut sudah ramai yang tahu.
Cuma ramai orang
terlepas pandang tentang apa yang berlaku seusai proses pertunangan tersebut.
Kita tahu, jika seorang lelaki hendak melamar, dia diharuskan untuk tengok
wanita yang hendak dilamarnya. Apabila wanita tersebut sudah bergelar
tunangannya pula, dia boleh berkenalan dengan wanita tersebut beserta
keluarganya. Itu antara hikmah pertunangan ; sebagai proses menuju perkahwinan
yang sejahtera.
Bab perkenalan
itulah ramai orang terlepas pandang. Mungkin sebab tidak dititkberatkan. Maka
banyak jugalah berlaku kerosakan pemuda dan pemudi Islam yang berada dalam
fatrah pertunangan kononnya atas nama ‘berkenalan’.
Jadi saya cuba
tuliskan sedikit guideline atau panduan untuk perhubungan sewaktu tempoh
pertunangan. Harapnya, ia mampu menarik mana-mana yang telah terlanjur ke depan
dan mampu menyuntik keberanian kepada mana-mana yang masih tidak tahu cara
berhubungan.
Ok,kita mulakan.
Pertama : Nothing
Change
Apa maksudnya?
Maksudnya, apabila anda dan dia bertunang, tidak ada apa-apa yang berubah. Baik
dari segi siapa dia, cara bercakap dengan dia, cara memandang dia dan
sebagainya. Dia tetap lelaki ajnabi dan dia tetap perempuan ajnabi. Maka
layanan anda kepadanya juga mesti sebagai ajnabi. Macam anda berkomunikasi
dengan pakcik teksi, abang jual top-up kat kedai dan tukang kebun di sekolah.
Apa yang berbeza cuma anda dan dia ada janji untuk berkahwin, itu sahaja.
Kedua : Pemfokusan
Apa hikmah anda
sebagai wanita haram dipinang lagi selepas anda menerima pinangan seorang
lelaki? Antara hikmahnya, Islam mahu mendidik anda supaya fokus. Buat satu-satu
biar selesai satu-satu. Bertunang bukan sekadar soal ‘reserve’ semata-mata. Ia
soal penyatupaduan usaha untuk menjayakan sebuah akad nikah. Mahu
merealisasikan itu bukan senang, perlu kepada pemfokusan gerak kerja. Jadi,
untuk berhubung antara satu sama lain, janganlah lari fokus. Soalan-soalan
seperti tadi datang program tak? saya tak nampak awak pun atau awak dah makan
ke? makan apa? itu semua agak jauh dari titik fokus yang sebenar.
Ketiga : Manusiawi
Apa yang saya
maksudkan di sini adalah layanan kepada satu sama lain ketika berhubungan
mestilah seperti melayan manusia, bukan robot. Banyak terjadi, apabila satu
pihak ‘terlalu menjaga’ maka dia menjadi robot dan bukan lagi manusia. Mana ada
manusia suka berkomunikasi dengan robot, apatah lagi yang berlakon sebagai
robot itu adalah tunangannya. Jadi jangan jadi robot, jadilah manusia. Caranya
mudah, anda sebagai wanita contohnya, ketika anda pergi kedai top-up dan
meminta brader kedai tersebut memasukkan top-up ke dalam telefon bimbit anda,
adakah anda berinteraksi dengan brader itu sebagai manusia atau robot?
Anda akan
berinteraksi sebagaimana manusia biasa, bukan? Kalau perlu senyum, anda senyum.
Kalau perlu jawab apa brader tu tanya, anda jawab. Kalau perlu bertanya, anda
bertanya. Tapi adakah perlu untuk anda berbalas jelingan mata dengan brader
tersebut? Tak perlu. Adakah perlu anda duduk melayan brader tersebut
berbual-bual? Juga tidak perlu. Jadi kena faham, anda bukan perlu menjadi tegas
seperti robot, sebaliknya anda perlu menjadi manusia yang tegas.
Keempat : Sms,
email, calling
Saya faham, part
ini paling ramai yang kalah. Tambah-tambah kalau dapat kredit free, memang
susah nak tahan tangan dari mesej atau call orang yang selalu di ingatan.
Tambah menyulitkan keadaan, apabila mahu berhubung tetapi tidak ada apa-apa
perkara penting untuk dicakapkan. Maka diperah jualah otak mereka-reka ‘perkara
penting’ barang sepatah dua, kemudian meleret-leretlah kepada segala benda yang
tidak penting. Akhirnya, dua-dua lalai leka.
Jadi dalam hal
ini, tidak dapat tidak kedua-dua pasangan mesti menjadi tegas. Patutnya,
lelakilah yang memainkan peranan menegakkan ketegasan tersebut. Tetapi
realitinya, ramai lelaki yang tidak menjadi tegas manakala yang wanita pula
terkial-kial mempertahankan ketegasan. Sudahlah wanita itu sifatnya mudah cair,
lelaki pula tidak memainkan peranan sebagai ‘pemimpin’ yang amanah dengan baik.
Soal medium
berhubung ini, ianya halal dan hukum asalnya harus semata-mata. Tetapi ia boleh
menjadi haram bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya. Justeru, amalkan
tips berikut ketika berhubung :
Banyakkan isi,
kurangkan bunga. Sekadar ayat pemanis bicara sikit-skit, tanya khabar, itu ok.
Tapi selepas itu mesti terus kepada isi. Biar isinya banyak. Kalau mahu
bincang, biar perbualan itu benar-benar berbentuk perbincangan.
Tak perlu
berjenaka. Berjenaka biasanya untuk mengendurkan suasana. Tetapi sebaiknya anda
mengambil sikap pertengahan, iaitu mewujudkan suasana perbualan yang tidak
terlalu tegang dan tidak terlalu kendur. Kadang-kadang, jenaka mengundang
padah. Boleh menghilangkan batas-batas ketegasan yang cuba dijaga. Jadi
masing-masing pujuklah hati ; simpan dulu jenaka itu untuk kemudian hari. Itu
lebih manis.
Jaga masa. Ada
sesetengah lelaki, tengah malam baru nak contact. Konon tak boleh tidur, konon
itu dan ini. Jadi dalam keadaan tersebut, wanitalah yang perlu bertegas dan
berkeras. Jangan bagi muka. Berhubung ‘di luar waktu’ apatah lagi dalam suasana
yang sunyi sepi, memang ibarat anda berdiri di mulut syaitan. Bila-bila masa
boleh kena telan.
Jangan berkhalwat.
Nabi s.a.w sebut : tidak berdua-duaan lelaki dan wanita melainkan syaitan
adalah yang ketiga. Ini bukan berlaku di alam nyata sahaja, bahkan juga di alam
maya. Chatting atau calling, biar ketika benar-benar perlu dan penting. Selesai
urusan, segera tinggalkan ruang tersebut.
Kelima : Rapati
ibu bapa
Banyak terjadi,
perempuan apabila sudah bergelar tunangan orang, dia cenderung merapati si
lelaki berbanding ibu bapanya sendiri. Ini silap. Kena faham dengan baik,
bahawa tanggungjawab dan ketaatan hanya berpindah dengan akad, bukan dengan
bertunang. Jadi sebagai anak gadis, anda perlu kekal sepertimana sebelum
menjadi tunangan orang. Apa-apa perkara, ibu bapa mesti menjadi yang utama,
bukan tunang.
Sebab itu dalam
banyak-banyak kes, pernikahan menjadi susah. Antara sebabnya adalah, si gadis
lebih sibuk dengan si tunang berbanding berbincang atau memujuk ibu bapanya,
manakala si lelaki pula langsung tidak berusaha untuk memujuk ibu bapa gadis
tersebut untuk menyegerakan pernikahan.
Orang perempuan
kena faham, susah mahu berjumpa lelaki yang benar-benar berani dan gentleman.
Yang sanggup melamar terus kepada ibu bapanya dan sanggup bersemuka sendiri
memujuk supaya dipercepatkan pernikahan. Lebih-lebih lagi kalau masih belajar.
Dengar sahaja dari mulut si gadis bahawa ayahnya tidak bagi kahwin masa
belajar, terus menjadi gerun. Apabila disuruh oleh si gadis untuk menghubungi
ayahnya dan berbincang, pelbagai alasan diberi. Hakikatnya, dia tidak bersedia
dan tidak berani bersemuka.
Itu masih ok. Apa
yang tidak ok adalah si lelaki asyik mahu merapai si gadis sepanjang tempoh
pertunangan. Perkara yang penting dijadikan tidak penting. Perkara yang tidak
penting pula dijadikan penting. Bab-bab memujuk keluarga, membina hujah dan
sebagainya, tidak berminat untuk dibincangkan. Sebaliknya bab-bab sakit kepala,
saya banyak masalah, awak tak memahami saya, saya rasa kesepian dan segala yang
lain dijadikan sebagai topik utama perbincangan.
Jadi bagaimana?
Dalam keadaan tersebut, kiranya si gadis pun lentok dan terikut-ikut dengan
pembawakan si lelaki, maka berpestalah para syaitan atas kejayaan usaha mereka.
Keenam : Prinsip
diri dan jaga hati tunang, mana satu?
Saya kira, dilema
ini dikongsi oleh sebilangan besar anak gadis di luar sana terutama yang
bergelar tunangan orang tetapi masih kabur dengan pernikahan.
Si gadis mahu
bertegas dengan prinsip. Iaitu sebagaimana prinsip-prinsip yang saya senaraikan
di atas. Apabila berhubung, dia tidak berlebihan. Sekadarnya sahaja. Memberi
fokus pada yang penting dan sebagainya.
Tetapi apa yang
menjadi masalah, si lelaki ‘tidak senang’ dengan keadaan tersebut. Dia
merasakan dirinya sebagai tunang perlu menerima ‘layanan’ yang lebih istimewa.
Janganlah terlalu tegas. Sesekali, mahu juga berkongsi rasa, melayan bicara,
membuai jiwa. Si gadis pantang menyerah. Tidak dilayan dan buat tak faham.
Akhirnya? Si lelaki merasa jemu dan mahu putus.
Sudah tentulah si
gadis akan bersedih hati. Namun adakah perlu dikorbankan prinsipnya?
Saya jawab :
tempoh pertunangan itu tempoh perkenalan. Berkenalan kat situ, bukan maksudnya
dia kena kenal saudari yang cantik, menarik, menawan, pandai ambil hati,
menyejukkan jiwa, penyayang dan sebagainya. TIDAK SAMA SEKALI. Apa yang dia
kena kenal adalah, keluarga saudari, perancangan hidup saudari, masalah-masalah
yang saudari hadapi untuk berkahwin dan apakah watak-watak yang disukai atau
tidak disukai oleh saudari. Sebab apa? Sebab dia kenal saudari sebagai TUNANG,
bukan ISTERI. Kalau dia kenal sebagai isteri, ya, saudari boleh kenalkan diri
saudari yang penyayang, manja, menggoda dan sebagainya. Jelas?
Jadi bila saudari
‘memperkenalkan’ diri saudari sebagai seorang yang tegas dan berprinsip,
kemudian si lelaki tersebut menolak, maka saudari tidak perlulah bersedih.
Saudari tidak kehilangan dia, sebaliknya dia yang kehilangan saudari.
Dan diri saudari
yang MAHAL itu hanya layak dikenali oleh lelaki yang jujur, amanah dan
benar-benar bertanggungjawab. Pasti dan pasti, lelaki jenis itu tidak akan
berkecil hati dengan ketegasan saudari sebaliknya dia akan bersyukur kerana
tunangnya membantunya menjaga iman dalam diri.
Saya kongsikan
satu status di facebook saya pada 12 Januari yang lalu :
Sedari,
cara untuk tolong
sedara yang minat sedari tu,
bukan dengan
menadah riba membentang jiwa memberi muka,
caranya adalah
dengan membenteng ketegasan dan jangan layan bila dia start merepek.
dia mungkin akan kata
saudari syadid, tak kesian kat dia, tak memahami dia, ‘tak sayang’ kat dia,
tapi hakikatnya,
itulah cara sebenar membuktikan rasa sayang.
dia mungkin akan
kata saudari zalim dan kejam,
tapi hakikatnya,
saudari ‘bantu’ dia untuk masuk perangkap syaitan itu lebih zalim bin kejam.
jadi jangan mudah
kena tipu sangat
bertegas hari ini,
kemanisan hari esok
ingat tu.
MOTIVASI
Ingatlah, apa
sekalipun yang kita tempuh dalam hidup ini, termasuklah pertunangan, semuanya
berlaku atas landasan takdir Allah Ta’ala. Jangan sesekali bimbang dengan jodoh
sehingga anda membutakan hati dari menilai mana kaca mana permata. Memilih yang
haq sama sekali tidak akan menjadikan anda rugi. Jangan bimbang ditolak, jangan
takut pertunangan itu terputus, kerana hakikatnya anda ada Allah yang tidak
pernah meninggalkan anda.
Firman Allah
Ta’ala :
Maksudnya : Boleh
jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu sedangkan ia buruk bagi kamu, dan Allah Maha Tahu sedangkan
kamu tidak mengetahui.
[ Al-Baqarah : 216 ]
Jika sekarang anda
bergelar tunangan orang, maka segerakanlah pernikahan. Jika tidak mampu, maka
janganlah berhubungan. Biarlah sekadar ada hubungan. Banyak kerosakan berlaku
dalam pertunangan disebabkan masalah tidak menjaga perhubungan. Maka
sebagaimana anda bertunang kerana Allah dan mahu menuju pernikahan kerana
Allah, begitu jugalah anda mesti menggantungkan usaha-usaha dalam fatrah
bertunang dengan taqwa kepada Allah.
Sekadar itu
perkongsian saya sebagai panduan anda yang sedang bertunang. Sama-sama jaga
iman dan jangan leka dari tipudaya syaitan.
Bagus artikel ni..............xsabar weh nak kawin
ReplyDeleteSyukran..selamat membaca... Tapi ini copyright.. mula2 lagi dh tulis.. Takut ada yg kata ciplak pula.. Sekadar sharing ilmu bersama...
ReplyDeleteInsyAllah..
Tulis sendiri ea maksud nya?
ReplyDeleteAlfu syukran~
Ana copy dr blog myilham untuk dititipkan bersama.. tapi post ni kat myilham tu post yg sudah lama.. sekadar perkongsian bersama...
Deletepost yg sangat baik sahabatku.syukran sgt3.memberi kesedaran serba sedikit :)
ReplyDelete